Lutfil : Papa kena datang sekolah hari Jumaat ni.
Aku : Ada apa?
Lutfil : Hari Akademik, cikgu nak bagi report card
Aku : Ok, papa datang.
Lutfil : Jangan potong rambut pendek macam hari tu tau...
Aku : Kenapa?
Lutfil : Tak hensem la, nanti Fil malu dengan kawan...
Aku : Ok, papa buat rambut pacak!!!
Lutfil angkat ibu jari tanda best.
++++
Baju nombor satu abah disimpan dalam gerobok dalam bilik tidurnya. Gerobok buruk. Mungkin seusia dengan perkahwinan abah dan mak. Baju kemeja lengan pendek berkain licin.Warna coklat muda bercorak-corak. Baju special untuk acara-acara special. Pergi ke bandar Raub keluarkan duit pencen askar sebulan sekali ataupun ada pembesar negeri melawat kampung, itulah baju yang dipakai abah. Ia tidak mahal, tapi tetap baju istimewa, nombor satu. Baju itu juga yang dipakainya tiap kali ke sekolah mengambil report card aku.
Aku tidak pernah merungut dengan penampilan abah. Hadirnya dia ke sekolah cukup buat hati aku berbunga. Dan dia juga tak pernah pulang hampa. Pencapaian akademik aku waktu sekolah rendah cukup cemerlang. Tiada ucapan tahniah, cukup sekadar dia menggosok-gosok kepala aku dan kami pun pulang. Di atas motosikal berkuasa rendah, aku peluk abah. Dia johan satu dunia.
No comments:
Post a Comment