Friday, June 24, 2011

Rush Hour

Ini entry lama dalam fb aku.  Waktu kerja di Jabatan Warisan.  Idea takde nak tulis apa.  Mencari idea ni bukan senang macam cari uban...cilakak, uban dah banyak!!!

++++

 Jumaat, 31 Julai 2009

Pulang dari kerja tadi aku bermonorail dari stesen Raja Chulan ke KL Sentral. 5.30 petang, waktu sesak, waktu puncak.  Aku yg jarang-jarang alami suasana begitu jadi tak keruan.  Mata liar pandang sekeliling melihat riak manusia pulang dari kerja.  Waktu nak masuk ke dalam monorail, ada seorang mamat menolak-nolak aku sambil leka berbual guna handphone.  Ingin aje aku siku, biar handphone canggih yang digenggamnya jatuh bersepai di atas lantai. Biar dia bermodal separuh bulan gaji sekali lagi buat beli Nokia N series yang bersepai tadi.  Tapi, itu cuma niat aku dalam hati.  Tak  gamak aku nak buat begitu, di saat marhain sibuk bersesak-sesak ingin pulang ke pangkuan famili.

Nyaman penghawa dingin tak terasa dek suasana sendat, padat dan rapat-rapat. Rongga respirasi terhidu hamis peluh yang berbaur dengan tengik wangian murahan para marhain. Mujur gadis manis berkurung merah jambu di depan aku berjaya buat aku terlupa akan suasana kurang enak itu. Sesekali mata mencuri pandang ke arah alur tetek dan peha mulus putih sekumpulan pelancong mat saleh...dan aku tahu ramai lagi golongan lelaki marhain seperti aku berkelakuan begitu...

Pasti aku akan ulangi lagi, walaupun bukan untuk tiap-tiap hari...manalah tahu, aku akan terjumpa lagi dengan si manis berkurung merah jambu. Selamat menjadi marhain!!!

Wednesday, June 22, 2011

Hari Akademik, Baju Nombor Satu dan Johan Satu Dunia.

Lutfil : Papa kena datang sekolah hari Jumaat ni.
Aku  :  Ada apa?
Lutfil : Hari Akademik, cikgu nak bagi report card
Aku  :  Ok, papa datang.
Lutfil :  Jangan potong rambut pendek macam hari tu tau...
Aku  :  Kenapa?
Lutfil :  Tak hensem la, nanti Fil malu dengan kawan...
Aku  :  Ok, papa buat rambut pacak!!!

Lutfil angkat ibu jari tanda best.

++++

Baju nombor satu abah disimpan dalam gerobok dalam bilik tidurnya.  Gerobok buruk.  Mungkin seusia dengan perkahwinan abah dan mak. Baju kemeja lengan pendek berkain licin.Warna coklat muda bercorak-corak. Baju special untuk acara-acara special.  Pergi ke bandar Raub keluarkan duit pencen askar sebulan sekali ataupun ada pembesar negeri melawat kampung, itulah baju yang dipakai abah. Ia tidak mahal, tapi tetap baju istimewa, nombor satu.  Baju itu juga yang dipakainya tiap kali ke sekolah mengambil report card aku.

Aku tidak pernah merungut dengan penampilan abah.  Hadirnya dia ke sekolah cukup buat hati aku berbunga.  Dan dia juga tak pernah pulang hampa.  Pencapaian akademik aku waktu sekolah rendah cukup cemerlang.  Tiada ucapan tahniah, cukup sekadar dia menggosok-gosok kepala aku dan kami pun pulang.  Di atas motosikal berkuasa rendah, aku peluk abah.  Dia johan satu dunia.

Monday, June 20, 2011

Antara Tuhan dan Hantu

Ada dua pantang dalam arena tengok tv di rumah aku sekarang.  Gusti dan cerita hantu.  Memang jangan harap aku nak tengok dan bagi anak-anak tengok.  Tambah hati ini  tak bekenan bila dua beradik mula bertanyakan perihal hantu kepada aku. Aku dengan yakin menegaskan TIADA HANTU!!! YANG ADA HANYA SETAN!!

Bukan apa, aku tak nak mereka membesar dengan perkara karut marut seperti aku dulu. Ikutkan pengetahuan tentang hantu setan, panjang lebar boleh aku ceritakan…tapi fikiran mereka yang masih mulus tak mahu aku cemar dengan ilmu sebegitu.

Aku membesar dengan siri cerita hantu Bercakap dengan Jin tulisan Tamar Jalis dan siri cerita hantu Tok Awang Ngah.  Berseli seminggu sekali dgn cerita-cerita separa lucah Wahid Kasran dalam Utusan Mingguan..cilaka betul. Petua dan pantang larang toksah cerita, macam-macam ada.  Tempat tu keras, hutan ni berpenunggu, di sana ada puaka, org itu ada saka, polan tu bela hantu raya, org itu bela toyol, wak itu boleh jadi rimau, makcik itu hari-hari mau…

Hantu susu, hantu paku, hantu tetek, hantu kum-kum, hantu galah, langsuir, penanggal, pontianak, polong. pelesit…lancar aku menyebutnya…cuba suruh sebut 99 nama Tuhan (Asma Al-Husna)…merangkak…Tak cukup dengan nama, sifat hantu juga mampu aku deskripsi…hantu itu panjang, yang itu cantik..hok itu pendek…yang bergolek..yang boleh terbang, yang melayang…cuba suruh sebut 20 sifat Tuhan…er er Ujud…er Kidam er er Baqa’…Mu’alafatuhu..

Dan yang lebih aku kesal, aku lebih takut ditegur oleh Sang Kelembai (boleh jadi batu ikut kata Mastika) dari takutkan teguran Tuhan melalui Quran dan Hadis…dan aku amat yakin, berani sumpah makan satay 6 cucuk, yang aku tak akan ajar 2 beradik itu jampi serapah kalau nak buang air dalam hutan/semak:

“Tok, Nenek…mintak izin…anak cucu tumpang kencing!!!” ntah dari mana jampi bodoh itu muncul.  Dangkal akal buat ia jadi tabiat aku bila nak kencing dalam semak waktu kecik dulu sebab takut punai bengkak!!!

Kepada kawan-kawan penggiat media, baik cetak mahupun elektronik…aku mintak tolong hentikan cerita-cerita hantu…Forum Perdana seminggu sekali…cerita hantu hari-hari!!! Takut ramai yang percaya hantu dari Tuhan…

++++
ini entry dalam fb aku dulu...semakin galak cerita hantu sekarang, baik di tv atau pawagam.  ke laut ke laut...

Tuesday, June 14, 2011

Rimas

Ada dua benda yang buat aku rimas. Lipas dan mesyuarat.  Rimas dengan lipas aku boleh handle.  Aku spray aerosol tak pun aku hentam dengan surat khabar gulung.  Rimas dengan mesyuarat memang aku tak tahu nak handle macam mana.  Celaka betul.

Seboleh mungkin aku mengelak pegi mesyuarat.  Sebabnya:

1.  Kena berpakaian kemas - pakai kot dengan tie memang champion rimas.  Aku ada satu je kot, itupun pinjam dengan Nur Azrin Azrul Azizi dah setahun lebih.  Entah-entah dia dah lupa.  Kalau dia lupa, aku harap dia halalkan.  Susah juga proses hisab di akhirat kelak.

2.  Aku jadi bukan diri sendiri tiap kali pegi mesyuarat terutama bila dengan pihak atau agensi lain.  Aku bertukar jadi seorang pemuda yang bersopan santun, tekun mendengar, tertib bercakap, kelihatan warak dan menunjuk guna ibu jari.  Memang ke laut!!!

3.  Menu sama tiap kali meeting.  Balik-balik karipap, bee hoon goreng, kuih seri muka, air teh o atau nescafe.  Aku ni dah la ada migrain tak boleh minum nescafe.  Selera rosak!!  Cuba la sekali-sekala bagi mee bandung Muar ke, char kue teaw Sunny Bayan Baru ke...

++++

Baru je kejap tadi aku berjaya mengelak pegi meeting dengan Kementerian Kesihatan.  Nasib baik lepas.  Aku dah siap-siap dengan soalan wabak e-coli yang melanda Eropah...nak nampak cerdik punya pasal, padahal meeting hal lain.  Ke laut ke laut...

Friday, June 10, 2011

Sang Pemimpi

Dalam kad butiran peribadi masa sekolah rendah dulu, ruangan cita-cita aku tulis nak jadi Perdana Menteri.   Ya, Perdana Menteri.  Saat kawan-kawan seusia lain bercita-cita nak jadi pilot, cikgu, askar dan entah apa lagi, aku bermimpi nak jadi Perdana Menteri.  Ikutkan hati, aku nak jadi Agong...tapi bila mengenangkan yang aku bukan anak Sultan, menjadi Perdana Menteri lebih realistik.

Masa beredar, dunia berputar...mimpi aku turut bertukar.  Sekarang ni, mimpi aku dah lain.  Sekarang aku mimpi nak jadi penulis.  Kadang-kadang mimpi nak jadi pengarah filem. Tapi jauh di lubuk hati aku yang paling dalam, masih juga aku bermimpi ada satu tempat untuk aku di sini satu hari nanti...

Ya, mimpi ada satu kerusi untuk aku di Dalam Dewan Rakyat ini.  Aku hanya mimpikan satu kerusi.  Kerusi yang ini...

Kerusi Perdana Menteri.  Mimpilah yang tinggi-tinggi.  Tanpa mimpi, kita mati....

Tuesday, June 7, 2011

Tetamu Senja

1994

Malam itu malam Jumaat.  Jam dah nak pukul 3 pagi.  Along teman sebilik balik kampung.  Aku jadi lemau.  Takde kawan.  Aku dan Along pelajar tingkatan 6.  Selebihnya tingkatan 1 di dalam bilik asrama di tingkat 3.  Awal-awal lagi aku dah suruh junior-junior tidur.  Siapa degil memang nak kena lempang. 

Perut kenyang bukan main.  Baru sudah makan mee goreng.  Makan tengah malam memang tak elok.  Tambah tak elok bila pecah masuk dewan makan dan goreng mee sendiri-sendiri.  Perkara ni dah jadi rutin.  Seminggu 3-4 kali masak sendiri di dewan makan.

"Takpe, kita bukan mencuri.  Lagipun kita jarang sarapan.  Kita masak sendiri malam-malam ni, kira kita ambil bahagian kita la..."  ayat yang Adik selalu guna untuk menghalalkan tindakan.

Aku baring.  Malam Jumaat tu memang tenang.  Boleh dengar kocak air Sungai Jelai yang mengalir lesu di belakang asrama SM Clifford.  Sungai yang dulu menjadi nadi Kuala Lipis.  Di pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Lipis pekan Kuala Lipis dibangunkan.  Sungai itu juga tempat penghuni asrama SM Clifford mendapatkan sumber air kalau bekalan air terganggu. Tapi perlu berhati,  lintah juga mendiami sungai itu.  Lintah haiwan hermafrodit, mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina seperti cacing. Lintah penghisap darah.  Badan lintah terdiri daripada 34 segmen. Mulutnya terbentuk pada enam segmen terhadapan badannya.  Digunakan untuk berpaut pada mangsa, sambil mengeluarkan bendalir bius agar mangsa tidak terasa digigit. Lintah mengeluarkan campuran mukus dan lekapan dari otot-otot sepusat agar terus berpaut sambil merembeskan enzim pencegah pembekuan darah dalam sistem darah mangsa. Sebab itu, jangan ditarik jika digigit lintah.  Biarkan sampai ia kenyang dan jatuh sendiri.  Jika ditarik, enzim pencegah pembekuan darah yang dirembes lintah, menyebabkan darah mengalir tak berhenti.

Lamunan aku pasal lintah terhenti bila tiba-tiba Adik masuk dengan gitar.  Gitar Awie dari bilik sebelah.  Dari baring aku ke posisi duduk.

" Mat, kau tahu nyanyi lagu Tetamu Senja?" Adik tanya ke aku.
" Lirik dia tak berapa ingat la..." aku jawab malas.
" Takpe aku ada lirik" Adik hulur kertas.  Bersedia benar dia.
"Apa hal nak nyanyi lagu ni pulak" Aku tanya musykil.
" Alaa...nyanyi je la.  jangan bayak bunyik.  Aku main gitar kau nyanyi."  Adik terus petik gitar kord berterabur.  Baru je beberapa bulan Adik belajar main gitar dengan Awie.  Aku nyanyi tanpa banyak kerenah bait-bait puisi A Samad Said yang pernah popular dilantun Kopratasa.

Tetamu Senja ~ A. Samad Said

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadaNya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan

Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat

Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

++++

Pagi Jumaat Along sampai ke kelas sedikit tempang.  Ada kesan tanah di lutut.
"Apahal?" Aku bertanya ringkas.
"Jatuh motor" Jawap Along sambil buat muka kesian.
"Padan muka.  Balik kampung tak bagi tahu warden..." aku balas tanpa simpati.
"Nanti lepas sekolah teman aku pegi pekan, nak kena repair sikit motor aku tu..."
"No problem" aku jawab yakin.

++++

Aku dan Along sampai ke asrama jam dah nak pukul 1 tengahari.  Adik dan Nik ada di bilik.
"Pinjam moto, nak hantar Nik balik rumah kejap" Adik bersuara ke Along mulut bau rokok.  Nik tersengih-sengih di sebelahnya.
"Kunci kat Mamat" Along tunjuk ke aku.
"Baik-baik Adik, handle moto tu senget."  sambil aku hulur kunci moto Along. "Nak pegi sembahyang Jumaat tak?" aku beri soalan sebelum Adik dan Nik berjalan keluar bilik.
"Nak...tunggu aku tau!!"  adik jawab tanpa menoleh.

++++

"Abang Mamat, Abang Adik eksiden!!!" Malik budak tingkatan 4 kejut aku yang tengah tido.
"Pukul berapa ni?" aku tanya Malik yang hitam macam anak negro tapi rambut tak kerinting.
"Dah pukul 2.30" jawab Malik.  Ishh tak pegi sembahyang aku rupanya.  Tido tengahari hari Jumaat memang lain macam dia punya pegi.
"Mana kau tahu Adik eksiden?"  aku tanya ke Malik.
"Balik sembahyang Jumaat lalu hospital...orang cakap"

Aku tangkas bangun berlari ke hospital.  Aku pecut laju.  Zaman ni aku boleh lari 100 meter 11 saat.  Dari asrama, berlari rentas padang.  Terus masuk ikut pintu belakang Hospital Lipis.

++++

Adik terbaring di atas katil wad kecemasan.   Dadanya turun naik.  Kawan-kawan lain pun ada.  Man Iban, Awie, Die Boyan, Haizam, Nasir Panjang, Jas, Lan Toli, Chokoh, Kenyit dan ramai lagi.  Seorang nurse turut ada berhampiran.

"Nurse, dia ni pakai contact lense"  aku bersuara ke nurse.
Nurse segera memeriksa mata Adik. 
"Takde pun" nurse menjawab ringkas.
"Nik mana?" aku tanya ke Man Iban.
"Doktor tengah check, dengar kata nak kena hantar pegi hospital KL" balas Man Iban.

Tak lama lepas itu Nik disorong keluar dari bilik rawatan.  Kaki tangannya berbalut.  Sambil berbaring Nik bersuara bila nampak aku dan kawan-kawan lain.

"Adik mana? Ok dia?"  Nik bersuara lemah.  Kaki dan tangannya patah.
"Nampak macam ok."  Man Iban jawab.  Memang fizikal Adik tiada cedera.  Tak ada luka.  Tak ada darah.

Nik terus di tolak ke dalam ambulan, ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

++++

Aku dan kawan-kawan tunggu di luar wad kecemasan.  Sekali sekala kami meninjau ke dalam wad.  Tiba-tiba suasana dalam wad gawat.  Seorang nurse berlari sambil sorong mesin renjat elektrik yang letak kat dada tu.  Doktor tiba tak lama selepas itu.  Nurse tarik tirai.  Menghalang pandangan kami dari melihat apa yang berlaku.

Tak lama.  Doktor keluar berwajah sugul.  "Dia dah takde" ringkas ucapannya kepada kami.
Man Iban yang sasa mengalir air mata.  Kawan-kawan yang lain pun sama.  Sedaya upaya aku tahan air mata dari mengalir.  Aku keluar ke perkarangan hospital.  Menahan sendu.  Kehilangan rakan karib memang lain macam perasaanya.

Tiba-tiba sebuah kereta berhenti betul-betul berhampiran aku.  Seorang wanita separuh abad keluar tergopoh gapah diikuti seorang lelaki seusianya.  Aku kenal mereka.  Itu ibu dah ayah Adik.

"Mana anak aku...mana anak aku" ayat itu keluar dari mulut wanita separuh abad.  Wajahnya cemas sekali.  Dia berkaki ayam.  Si ayah lebih tenang.  Mereka bergegas masuk ke dalam wad.  Tak sampai hati aku tengok keadaan mereka.

Sayup-sayup aku dengar raungan wanita separuh abad dari dalam wad. "Adik kenapa tingalkan emak...kenapa tinggalkan emak??" ayat itu berulang-ulang.  Si ayah keluar.  Dia terjelepok berhampiran aku.  Menarik rapat lututnya ke dada.  Menelekup mukanya ke lutut.  Bahunya tersenggut-senggut.  Dia menangis.  Sedih.  Amat sedih.  Kehilangan anak.  Anak tunggal.

Air mata tak mampu lagi aku tahan-tahan.  Mendengar raungan si ibu dan melihat keadaan si ayah, aku kalah. Laju air mata mengalir.  Kenangan-kenangan bersama arwah menerpa.  Bait-bait Tetamu Senja yang baru aku nyanyi semalam akan aku ingat sampai bila-bila.

"Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadaNya..."