Bagi aku banyak benda yang boleh dikategorikan sebagai ngeri. Tengok eksiden, ngeri. Hantu, ngeri. Tengok orang bersalin, ngeri. Kena panggil dengan cikgu disiplin masa sekolah-sekolah dulu pun ngeri. Kena inject BCG waktu darjah 6 dulu pun ngeri juga. Tapi, dalam banyak-banyak ngeri...bagi aku, nombor 1 punya ngeri, bersunat. Huh, memang champion dia punya ngeri.
Aku sunat masa darjah 5, tahun 1986. Time tu aku sunat kat sekolah. Sekolah aku buat majlis sunat ramai-ramai. Minggu terakhir hari persekolahan. Kalau tak silap lebih 30 orang masa tu yang bersunat. Sunat punya fee dalam RM30 je rasanya. Siap ada bunga manggar, main kompang bagai. Ada majlis kenduri makan pulut kuning. Tapi selera makan time tu memang dah takde. Belum kena potong, selera dah potong dulu. Yang tak bestnya bila ada ramai awek-awek sekolah rendah turut serta memeriahkan suasana. Ngeri campur malu, macam lahanat rasanya. Dia punya berdebar jangan cerita...memang tahap tak patut.
Majlis sunat yang official mula lepas Zohor. Hari tu memang panas, sampai ke hati panasnya. Ahli-ahli persunatan dah berkumpul dalam surau sekolah. Masing-masing dah pakai kain pelikat. Muka takut memang dah tak boleh nak sembunyi-sembunyi. Ada yang pucat, ada yang biru. Jantung berdegup kencang sampai kawan sebelah pun boleh dengar. Dup dap dup dap...cilaka punya gabra.
Tok Mudim...ya Tok Mudim, duduk atas kerusi mengadap ahli-ahli persunatan yang bersila atas lantai surau. Mulut Tok Mudim kumat kamit baca doa ke jampi ntah apa aku tak tau. Mata pejam. Tiba-tiba Tok Mudim bukak mata.
"Kamu nombor 1" sambil jari Tok Mudim tunjuk ke arah Rashidi Ishak. Shidi ni sebaya aku. Kalau lumba lari dia memanjang dapat nombor 2, pasal aku memanjang dapat nombor 1 hehe. Tapi time sunat biar la dia nombor 1. Aku dapat angka giliran nombor 4. Lepas masing-masing dapat nombor giliran, agenda potong memotong pun bermula...jeng jeng jeng...
Bila angka giliran dipanggil...huh bukan setakat kecut perut, habis semua apa yang ada jadi kecut. Aku melangkah longlai ke bilik pemotongan. Abah tepuk-tepuk belakang aku kasi naik semangat sambil iring aku ke dalam. Di tengah bilik, aku tengok ada batang pisang besar peha orang dewasa panjang dalam 1 meter. Di hujung batang pisang Tok Mudim tersenyum mesra...tapi sikit pun aku tak jatuh hati. Apa jadah aku nak jatuh hati, Tok Mudim tu pegang pisau cukur macam kedai gunting rambut india nama Nalaya tepi padang bola Koyan 3. Pikiran lebih banyak tumpu ke pisau cukur sama batang pisang. Pegi mati senyuman manis Tok Mudim...
"Buka kain...duduk atas tu" Tok Mudim bersuara sambil mulut muncung ke batang pisang. Aku akur. Punggung rasa sejuk dek batang pisang di celah kangkang.
"Mengucap, lepas tu baca Al-fatihah...pandang atas" Sekali lagi aku akur. Aku dongak ke atas. Kipas syiling pusing ligat speed 5 tak terasa. Cuma rasa ada sesuatu mengepit anu, tapi tidak sakit. Usai mengucap, aku terus baca Al-fatihah. Belum sempat habis, tiba-tiba ZZZRAAP...rasa pedih yang amat sangat menguasai celah kangkang. Menitik air mata dibuatnya. Pedih ya amat dahsyat itu buat rasa kebas satu badan. Aku macam nak pitam. Tiba-tiba pembantu Tok Mudim letak limau nipis yang dibelah 2 ke hidung aku.
"Cium limau ni" kata pembantu Tok Mudim. Dalam nak pitam, aku hidu limau tu. Ajaibnya, rasa pedih ya amat tadi, pelan-pelan hilang. Badan kembali segar, rasa nak pitam turut hilang diganti rasa nak kawin pasal dah sunat...hehe
++++
Itu cerita hampir 25 tahun dulu.
Sabtu lepas aku bawak Lutfil pegi sunat. Kat klinik. Lutfil pegi bersunat pakai jersey MU siap seluar. Dah macam nak pegi main bola. Bawak bekal kain pelikat dalam paper bag. Lutfil dapat nombor giliran ke-8.
"Boleh tak masa sunat nak main game?" Lutfil tanya ke aku.
"Boleh" aku jawab ringkas, pasal aku yang tengah ngeri sebenarnya...memori kangkang pedih ya amat tiba-tiba menerpa.
Turn Lutfil sampai. Aku iring dia ke bilik doktor macam abah iring aku dulu. Sampai di bilik doktor, aku jadi lega pasal takde batang pisang di situ.
"Buka seluar, baring atas katil ye" doktor menyapa ramah dan mesra. Lutfil akur sambil tangan pegang hp siap sedia nak main game Road To Hell aku download free dari internet.
Doktor suruh Lutfil baca Al-Fatihah dan bilang 1 sampai 60. Lutfil buat arahan doktor sambil baring tangan main game. Sambil mulut Lutfil buat kiraan, Doktor inject bius. Gedebuk gedebak, dalam 10 minit settle sunat. Sepanjang proses Lutfil sibuk main game...
++++
Cilaka, apahal time aku sunat dulu hp belum ada??? Tak pasal-pasal aku kena alami perit ya amat di celah kangkang...
Lutfil main game sambil kena sunat? time aku dulu masa nak bius tu sakit nak mampus..
ReplyDeleteApa ni bang, Lutfil minat MU? aduuusss..
masa inject bius dia tak de rasa sakit ke?
ReplyDeletesebab batang pisang tu la aku cakap kat bapak aku CANCEL sunat dgn tok mudim kat felda..... aku pilih tok mudim kat kampung atuk yg lebih profesional sket.... boleh sunat sambil baring.....
ReplyDeleteSaat paling ngeri aku pulak ialah masa nak cuci luka lepas sunat tu ..... ngeri, ngilu, pedih semua ada ....
:-aLCapone-
Bagaimana kalau sunat kali kedua? Tak ngeri lagi kan!
ReplyDeletepak hashim...tobat tak nak dah!!!
ReplyDelete