Friday, October 28, 2011

MTD tak jadi...(Part 2)

Aku tak boleh tido.  49 orang budak lelaki yang lain dah lama lelap.  Kepala pikir macam-macam.  Pikir apa lagi ujian yang bakal ditempohi esok hari.  Aku jugak pikir pasal abah.  Kesian dia.  Mesti dia sejuk dan banyak nyamuk. Malam sebelum tu ada la juga aku temankan dia.  


Kami sampai ke Kuantan hari dah petang.  Lepas pergi recce mana dewan periksa, kami cari tempat tido.  Abah kata kita kena cari tempat tido yang dekat-dekat, pasal esok aku kena ambil periksa pagi-pagi.  Depan kem askar Batu 12 Kuantan tu ada masjid.  Di situ la aku dan abah tido.  Karpet nipis, kain pelikat dan pelukan abah jadi perisai tahan sejuk.  Disebahkan aku lulus periksa siang tadi, maknanya abah kena tido di  masjid sorang-sorang lagi 2 malam.


Tido dekat dengan dewan periksa hanya alasan.  Aku tahu, abah takde duit nak tido di hotel.  Tahun-tahun pertengahan 80an, era gawat.  Harga kelapa sawit down giler babi.  Rata-rata pendapatan peneroka Felda kampung aku dalam 3-4 ratus je.  Dengan pendapatan sebanyak itu abah besarkan 7 orang anak.  Masa tu, abang aku  yang sulong balik dari Kanada belum dapat kerja tetap.  Dia jadi cikgu sementara kat sekolah menengah kampung aku ajar bahasa Inggeris.  Kakak nombor 2 tengah belajar kat MPSI (sekarang UPSI).  Nombor 3, abang aku baru daftar masuk UTM Skudai. Nombor 4 kakak tingkatan 3, seterusnya aku dan 2 orang adik lelaki yang masih kecik.  Kami belum mampu nak membantu.  Apa yang mampu kami buat, habiskan nasik yang mak masak...


++++


2 hari berikutnya aku tempoh dengan jaya.  Kehkeh setakat ujian kecergasan dan kesihatan, apa ada hal. Ada ujian berkawad, ujian lari keliling padang, ujian main bola, timbang bola takraw, ujian berenang pun ada.  Tapi yang paling tak tahan, ujian kesihatan.  Ada sorang doktor dan nurse.  Masuk bilik periksa sorang-sorang kena bogel.  Habis segala telur dorang check.  Walaupun aku baru 12 tahun, tapi malu la juga...cilaka betul.


Aku pendekkan cerita.  Dari 50 orang, disaring jadi 20 dari ujian kecergasan dan kesihatan.  Maknanya 30 orang kena tendang.  Aku berjaya masuk senarai 20.  Boleh tahan juga aku punya steady.  Dalam ramai-ramai budak lelaki umur 12 tahun dalam negari Pahang, aku masuk senarai 20.  20 orang ni kiranya wakil negari Pahang ke peringkat zon pula.


Ok, begini.
1.  Zon Utara - Perlis, Kedah, Penang, Perak
2.  Zon Tengah - Selangor, Kuala Lumpur
3.  Zon Selatan - Negeri Sembilan, Melaka, Johor
4.  Zon Timur - Pahang, Kelantan, Terengganu 
5.  Zon Sabah dan Serawak


Setiap tahun, MTD ambil dalam 100-120 orang pelajar tingkatan 1.  Seramai 20 orang dari setiap 5 Zon di atas.  Maknanya 20 orang X 5 Zon = 100.  Lagi 20 biasanya diambil dari kalangan anak-anak tentera yang cemerlang ujian penilaian darjah 5.  Senang cakap, orang dalam.


Jadinya aku kena lalui satu lagi proses ujian.  Kena bersaing dengan budak-budak zon Pantai Timur pulak.  60 orang semuanya, 20 dari Pahang, Kelantan dan Terengganu.


++++


Selang sebulan dari pengalaman tido masjid di Kuantan.  Aku ke Kelantan pula.  Ke Kem Kijang, dekat dengan Kota Bharu.  Kali ini sesi interview.  Siap beli kasut hitam berkilat, pakai tie bagai.  Turn aku sampai.
Ada 3 orang pakai baju askar smart-smart depan aku.  Muka masing-masing jenis takde senyum.  Lagu "Senyum Seindah Suria" memang takde dalam kamus hidup mereka barangkali.  Lagu "Senyumlah Cek Mek Molek" M Daud Kilau mungkin dorang suka, pasal lagu tu ada gatal-gatal sikit.  Pegawai askar kan banyak yang gatal-gatal kan? kan? kehkehkeh...


Soalan yang dorang tanya antaranya Dasar-dasar Kerajaan.  Apa nak buat sebagai ketua.  Nama Panglima Angkatan Tentera.  Semua aku tak tau nak jawab apa.  Satu je aku jawab betul, Nama Menteri Pertahanan waktu tu, itu pun aku sebut Abdullah Badawi je.


Ada ke patut tanya soalan macam tu kat budak umur 12 tahun.  Patut ke?  Memang patut aku tak dapat masuk MTD...kalau tidak ada chance aku jadi Panglima Angkatan Tentera...jahanam.

No comments:

Post a Comment