Wednesday, February 24, 2010

Klasik Darjah 1

     Aku masuk darjah 1 tahun 1982.  Itu jam, jalan kat kampung aku pun belum tar lagi.  Tanah merah, kalau hujan...bukan main dia punya lecak.  Mesin basuh pun belum beli...nak buat apa beli mesin basuh, letrik pun ada belah malam je. Masa tu tiang Lembaga Letrik Negara (LLN) belum masuk kampung aku.    Kampung aku pakai generator besar.  Dia punya celaka, asyik rosak.  Kadang-kadang tengah syok layan cerita Combat atau Perilly's Action Movie, blackout.  Minyak gererator habis, pakcik India yang jaga generator lupa isi minyak pasal sibuk mabuk kat kedai Sang.  Kalau time siang nak tengok cerita kartun Toriton, kena tumpang rumah jiran yang ada genset.  Siaran tv pun time tu start belah petang, tv1 dan tv2 je yg ada. Line telefon rumah pun takde, henfon toksah cerita la.  Ada satu public phone warna oren kat pejabat Felda Koyan 3.  Time malam-malam berbaris orang ramai guna public phone.  Pasal time malam charge dia murah sikit.  Sekarang mana nak dapat adegan macam tu...klasik!!

     Malam sebelum masuk sekolah, dada ada debar.  Tapi aku tetap konfiden, eja "ayam" dengan eja "buku" memang dah hafal.  Bukan main susah nak tido. Darjah 1 aku kena sesi petang.  Pagi-pagi aku dah bangun susun perkakas sekolah.  Abah aku belikan beg sekolah warna hijau jenama Haitop.  Pensil picit ada 2, pembaris kayu warna kuning satu dan tidak dilupakan pemadam perisa strawberry warna pink harga 50 sen.  Puas aku merengek hentak-hentak kaki nak pemadam tu. Bekas pensil bukan main, jenis ada 2 lapis...tebal boleh bukak depan belakang.  Belah tepi ada laci, ngam-ngam boleh masuk pemadam perisa strawberry warna pink harga 50 sen.  Sebelum simpan pemadam...aku cium dulu...aku cium dalam dalam...aduhhhh bau strawberry yang harum meresap sampai ke otak.  Nyaman dan menyegarkan...dalam hati timbul pelangi, semangat nak menuntut ilmu berkobar-kobar.

     Siap kemas perkakas sekolah cepat-cepat mandi dan beruniform.  Zaman ni belum ada uniform jenama Canggih.  Mak aku belikan brand ntah apa bende kat bazar atas bukit sebelah pasar Raub. Seluar sekolah pun masih seluar pendek.  Zaman ni budak sekolah rendah pakai seluar pendek lagi. Siap pakai baju, aku ambil belkrim seceduk, pastu pegi kat mak.  Rambut kasi mak sikat, kalu sikat sendiri alamat bahagian depan je la yang smart, bahagian belakang dengan tepi confirm barai.  Lepas mak aku sikatkan, aku pegi tengok cermin...perghhhh bukan main dia punya belah tepi. Tapi bab mud guard tinggi bikin aku down...lemah betul aku tengok rambut dengan cuping telinga jauh sangat...dah macam mud guard moto scrambler.  Tapi aku rasa gaya budak-budak lain pun lebih kurang aku je.  Itu je stail pakcik India kedai gunting sebelah padang bola tu tau buat.

     Dekat-dekat nak pukul 1, abah aku dah suruh pakai kasut.  Kasut BM2000 beli kat kedai Bata Raub.  Dengan penuh rasa yakin dan bangga aku sarung kasut tu.  Kasut sekolah tapak hijau tak main la.  BM2000 memang tengah top dikalangan budak sekolah rendah.  Budak sekolah menengah top kasut Carefree, yang samseng sikit pakai Carefree high cut. Nanti bila aku besar sikit memang aku nak beli satu.  Stokin putih kasi tarik tinggi-tinggi, dah nak sampai lutut.  Sebelum keluar rumah, aku sempat melirik ke arah cermin, memang segak.  Semangat "Ilmu Suluh Hidup", motto Sekolah Rendah Sg. Koyan  meruap-ruap dalam diri.  Aku berjalan slow motion ke arah abah yang sedang menanti di atas motosikal berkuasa rendah.  Beg Haitop kemas tersandang di atas belakang.  Alam aku rasa berhenti berputar menyaksikan seorang budak lelaki berumur 7 tahun berjalan megah nak pergi sekolah.

     Aku ditempatkan dalam kelas 1 Biru.  Ada kelas Kuning, Merah, Biru, Hijau dan Putih.  Hari pertama masuk sekolah semua aku lihat indah.  Air sirap kantin amat sedap dipandang. Mural-mural di dinding amat seni.  Kaki kerusi, bucu meja, papan hitam warna hijau, kapur tulis, bunyi loceng...semua menarik.  Dan yang paling aku suka, aku dapat kawan baru.  Duduk di sebelah aku seorang budak lelaki yang sangat manis senyumannya.  Senyuman yang paling manis pernah aku tengok.  Di dalam hatinya seolah-olah ada rama-rama.  Dia berpakaian agak comot. Aku rasa dia pakai baju lama abang dia yang darjah 3.  Rambutnya tegak-tegak.  Kulitnya cerah dan dihiasi dengan parut-parut akibat nakal. Dia juga ramah.  Amat ramah.  Tapi sepatah haram aku tak paham apa yang dia bualkan.  Dia bisu. Namanya Zamri.  Dalam usia 7 tahun apa yang mampu aku buat?  Bahasa isyarat aku tak reti, nak berbual guna tulis-tulis, aku baru pandai eja "ayam" dengan "buku" je.  Sudahnya aku hanya angguk-angguk dan senyum-senyum tiap kali dia mencuit aku ajak berborak. 

     Di sebelah kanan aku pulak, duduk seorang budak pompuan yang agak gemuk.  Dalam kelas waktu tu duduk 2 orang 2 orang.  Aku duduk dengan Zamri, meja sebelah kanan duduk la budak pompuan gemuk ni.  Yang lain aku dah lupa pasal 2 orang ni amat memberi kesan pada hari pertama persekolahan aku.  Cikgu kelas aku nama Malik.  Disebabkan hari pertama persekolahan, Cikgu Malik agak busy.  Dia merangkap cikgu koperasi.  Jadinya, memang sibuk la dia.  Nak jaga kelas, nak jaga koperasi, nak jaga jambul dia, nak jaga seluar denggri.  Sampai aku tengok kemeja kotak kotak body fit dia dah terkeluar-terkeluar dari seluar.  Sibuk sangat.  Cikgu Malik pesan suruh buat kerja sendiri sebelum keluar kelas.  Dia bagi kertas lukisan sorang satu.  Aku dengan pantas lukis kapal.  Bab-bab lukis ni aku kira hero la jugak.

     Tengah aku ralit melukis, tiba-tiba aku perasan pemadam perisa strawberry warna pink harga 50 sen aku takde.  Aku panik.  Aku paling kiri ke Zamri.  Dia tekun melukis.  Aku paling kanan ke budak pompuan gemuk.  Cilaka.  Dia makan pemadam perisa strawberry warna pink harga 50 sen aku!!  Aku jadi sedih.  Mata berkaca.  Tapi aku tahan nangis.

"Bagi rubber aku balik!!" 
"Nah...tak sedap la rasa dia..." 

     Budak pompuan gemuk hulur pemadam perisa strawberry warna pink harga 50 sen aku yang tinggal suku.  Gampang betul. Aku ambil pemadam perisa strawberry warna pink harga 50 sen yang dah tinggal suku bersama-sama kesan air liur budak pompuan gemuk.  Aku simpan dalam kotak pensil baik-baik.  Semangat aku nak sekolah jadi pudar.  Hati yang tadi ada pelangi bertukar jadi hantu nak makan budak.  Tapi aku tahan.  Takkan hari pertama sekolah dah nak pukul orang...

    Balik sekolah aku mengadu dengan mak sambil nangis-nangis.  Mak aku pujuk sambil ketawa-ketawa.  Lucu ke pemadam perisa strawberry warna pink harga 50 sen kena makan??  Esok pagi-pagi abah pegi beli pemadam baru.  Tapi kali ni pemadam yang biasa biasa je.  Harga seposen warna putih ada belang hijau kecik belah atas.  Ada gambar katun.  Kalau pemadam yang ini pun budak gemuk makan...siap la dia aku tinju!!

++++

Aku dah lama tak jumpa budak gemuk tu.  Zamri aku ada jumpa. Last aku jumpa Zamri, tahun 2004 kat Kuchai Lama.  Dia dah kawin, anak 2.  Isteri dan anak-anaknya semua manis-manis.  Zamri aku lihat bertambah manis dengan kehadiran 3 orang pemanis hidupnya. Zamri tetap ramah. Dalam hatinya masih ada rama-rama. 3 ekor rama-rama cantik berseri sedang menari-nari dalam hidup Zamri...

Tuesday, February 23, 2010

Lasykar Pelangi 2

16 Februari 2010

Aku sampai Puduraya sekitar jam 11 pagi.  Suasana Puduraya hari itu macam biasa, sesak dan padat dengan manusia yang macam ragam.  Cepat-cepat aku mencari tiket ke Tangkak, destinasi aku seterusnya selepas Puduraya.  Cepat-cepat aku berjalan di tengah kesesakan manusia yang aku tak tau destinasi mereka.  Akhirnya dalam kecepatan aku dapat tiket Cepat Ekspress ke Tangkak jam 1.30 tengahari.  2 jam setengah tempoh masa yang perlu aku tunggu di Puduraya yang amat merimaskan itu.  Padah tak beli tiket awal-awal.

Aku ambil keputusan untuk berjalan-jalan di kedai-kedai yang terdapat di situ.  Ada ura-ura nak beli kasut trekking bundle buat belasah masuk Taman Negara Endau-Rompin esok.  Aku tau ada satu kedai bundle nama Buntil di Puduraya.  Kecewa menanti sesampai di depan kedai.  Tutup, cuti raya cina barangkali...ceh meniaga main-main.  Owner Melayu, tapi raya cina pun nak tutup...trekking pakai sandal je la jawabnya nanti.

Aku tak tau nak ke mana, nasib baik ada kedai buku. Dalam kepala teringat novel Lasykar Pelangi.  Aku mesti beli, untuk merasa kesedapan yang dikata rakan dan menghabiskan waktu menunggu.  Cepat-cepat aku ke sebuah kedai buku.  Kedai buku itu agak serabut, tak macam Kunokuniya atau MPH.  Aku cepat cepat ke kaunter untuk bertanya. Di situ duduk seorang wanita bertshirt merah, bertudung biru muda dan berseluar jeans. Wajahnya tidak menarik.  Dia sedang membaca Harian Metro.  Dia sedang menunjukkan kelemahan dirinya.  Walau dia dikelilingi buku yang bersepah sepah, harian Metro yang suka letak tajuk muka depan ayat-ayat stim stim yang dia pilih.  Selebihnya muka Dr. Rozmey dan pakar motivasi tubuh besar rambut pacak sambil tangan tunjuk kat kepala...hish!!.

"Cik, ada novel Lasykar Pelangi?" aku bertanya sopan.
"Takde" jawabnya pantas, tanpa ada usaha untuk mencari atau menyemak rekod-rekod penerimaan.
"Pemalas!!" aku menengking di dalam hati.

Aku terus ke rak-rak buku.  Aku tekad nak cari sendiri Lasykar Pelangi.  Tak sampai 10 minit aku dah jumpa.  Aku berjalan cepat cepat menuju ke kaunter.  Aku letak betul-betul depan wanita pemalas penjaga kaunter bayaran.  Wajahnya berubah, rasa bersalah. Dia pulak yang cepat-cepat ambil novel Lasykar Pelangi dan menekan nekan teller machine.

"25 ringgit encik" katanya cepat tanpa menandang wajah aku, mungkin dia malu. Padan muka.  Sape suruh jadi pemalas.  Cepat-cepat aku bayar.  Wanita pemalas penjaga kaunter mengambil wang.  Dia dengan cepat cepat nak masukkan novel Lasykar Pelangi ke dalam sebuah beg plastik kecil.

"Tak payah" kataku tegas. Wanita pemalas penjaga kaunter menghulur novel Lasykar Pelangi tanpa dibungkus.  Bukan aku marah, cuma aku ni pencinta alam...beg plastik mencemar...heh.

++++

5 hari berikutnya aku habiskan aktiviti harian dgn jungle trekking waktu siang dan baca novel waktu malam.  Walau penat, novel Lasykar Pelangi berjaya juga aku habiskan dibawah samar-samar lampu chalet diiringi bunyi unggas-unggas rimba Taman Negara Endau-Rompin.  Andrea Hirata jadi idola baru dalam hidup aku...

Sunday, February 21, 2010

Lasykar Pelangi

Aku baru habis baca novel ni.  Karya pertama Andrea Hirata penulis Indonesia yang mungkin umurnya lebih kurang aku. Cerita dan gaya bahasanya bagus.  Aku malas tulis panjang-panjang pasal aku letih baru balik Taman Negara Endau-Rompin.  Nak tau beli sendiri...aku nak rehat-rehat sambil cari idea.  Aku rasa macam nak jadi penulis novel la pulak...

Friday, February 12, 2010

Tabiat Sewaktu Merempit

Sejak kebelakangan ni, aku perati...tiap kali merempit pegi balik keje, aku nyanyi.  Aku nyanyi lagu ni:

Ash hadu anla ilaha Illallah,
Wa ash hadu anna Muhammadar Rasulullah
Tiada Tuhan selain Allah
Nabi Muhammad pesuruh Allah

Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semuanya dari Allah

( ulang 1 )

Hati gembira terasa bahagia
Itulah tanda nimat dariNya
Ingatlah Allah bersyukur padaNya
Ucapkanlah Alhamdulillah...

( ulang 1 )

Alhamdulillah pujian bagi Allah
Subhanallah Maha Suci Allah
Allahuakbar Allah Maha Besar
Segala puji hanya bagi Allah

Ketika hati sedih dan pilu
Kerana ujian melanda
Ingatlah ia sementara
Ucapkanlah Innalillah

( ulang 1 )

Alhamdulillah pujian bagi Allah
Subhanallah Maha Suci Allah
Allahuakbar Allah Maha Besar
Segala puji hanya bagi Allah

Bukan apa, kalau eksiden..setidak-tidaknya aku tgh memuji-muji tuhan.  Tapi time aku tgh merempit di jalan yang lurus sambil bernasyid, tiba-tiba ada pemandu lain buat corak pemanduan serupa gampang, bersepai juga carut marut keluar dari mulut aku.  Lepas maki hamun lebih kurang, aku sambung nasyid balik.  Amacam? Islam Hadhari tak??

Tuesday, February 9, 2010

Aku & Facebook

Congak congak...rasa rasanya dah setahun kot aku berkecimpung dalam dunia fb.  Mulanya aku pandang sebelah mata je laman laman sosial ni...friendster la myspace la, aku tolak mentah mentah.  Bagi aku semua tu buang masa, permainan anak-anak muda je tu.  Bagi aku yg tak berapa nak IT savvy ni, ada email akaun dah cukup best dah.  (Email add aku dari zaman ITM woo...hotmail aku bukak dalam tahun 97 or 98, sampai skrg aku still guna add dan password yg sama...gila setia!!!).

Tapi bila satu hari dapat email dari Azlan yg mempelawa aku jadi kawan fb dia, aku jadi kelakar.  Azlan ni duduk sebelah aku kat opis...

aku    :   yang lu pelawa gua jadi kawan fb lu ni apahal?? tak cukup di alam nyata kita berkawan? Di alam cyber pun lu nak bekawan dgn gua?? 
Azlan :  Ala lu jgn cerita banyak la...lu accept je gua punya invitation tu...

Demi menjaga hati Azlan, aku sahut jugak pelawaan dia tu...tak pasal-pasal aku daftar fb.  Being a not so IT savvy person, it took me sometime to really understand how this thing works. Disebabkan hati yang terang dan akal aku yang cergas, tak lama masa yang aku ambil nak menguasai fb ni.  And there was no turning back after that!  Ntah hantu yahudi mana yg Mark Zuckerberg guna, aku jadi ketagih la pulak.  Setiap hari nak kena singgah laman fb...cilaka betul.

Melalui fb aku dapat cari kawan-kawan lama dan berkenalan dgn kawan baru...tp bab berkenalan bukan keutamaan aku.  Bilangan kawan-kawan fb aku dah lebih 500 sekarang, 98% memang aku kenal, terdiri dari kawan-kawan seKoyan, kawan kawan Semesra/Semesta, kawan kawan Clifford, kawan kawan ITM, kawan kawan tempat kerja, kawan kawan masa kursus...dan 2% lagi mewakili gadis-gadis manis yang cuba mengorat aku...keh keh

Fb juga beri peluang aku tengok gambar kawan-kawan.  Yang dah kawin sibuk la tunjuk gambar pasangan dan anak masing-asing.  Yang single letak gambar paling cute jenis tangkap sendiri...mengada betul.  Yang hobi memancing....penuh la gambar dengan hasil tangkapan, yang hobi main kereta...penuh la gambar kereta...yang minat main kamera, penuh la gambar-gambar indah di ruang foto mereka...dan, macam-macam gaya gambar ada, mencerminkan hobi dan status individu itu....

Fb jugak ada macam-macam applications...ada kuiz, ada horoskop, ada game.  Aku memang tak berapa minat main game...farmville la, mafia war la, poker la...semua aku reject...aku layan Fantasy Premier League Football je.  Tapi bab bab kuiz mmg aku tak boleh blah.  Ada yang sangat tongong pada pendapat aku.  Contohnya kuiz " Watak apakah anda dalam siri Nur Kasih?"... macam gampang!!  Sape-sape yang hantar kuiz tu ke laman fb aku, konpem aku delete...kalu bersua muka aku nak tumbuk perut dia kuat-kuat.  Mengada...

Sejak akhir akhir ni, fb dah menjadi medium perniagaan...ada yang menggunakan fb sebagai platform mengembangkan perniagaan. Yang terlibat dangan MLM, modus operandinya sama je...provocative statements in their daily status. Contoh  "sampai bila nak keje makan gaji, ujung bulan abis bayar bil sedangkan duduk saja blh dpt RM10k per week?" Letak pulak gambar sambil pegang duit banyak-banyak...astarafirullahalazim...dah riak macam Dr. Rozmey lagaknya...

Dan tidak lupa juga Status Updates, dari situ aku boleh dapat Quotes off the day, pepatah, hadis, dan luahan rasa yang menggambarkan perasaan seseorang waktu itu...teruskan ber fb, celaka Mark Zuckerberg!!!

* Gua tulis entry ni sambil pandang-pandang belakang, maklum la...time opis ni weiii...