Semua hal yang aku ingat tentang abah sewaktu aku kecil adalah biasa dan samar. Sesamar foto hitam putih yang ada dalam album di kampung. Tapi, dari foto hitam putih itulah aku tahu abah aktif main bola masa muda. Ada macam-macam gambar abah dengan pasukan bola sepaknya. Gambar abah dengan pasukan bola sepaknya lawan pasukan orang putih pun ada. Sosok tubuh abah berdiri megah sambil tersenyum nipis. Itu semasa abah berkhidmat dalam tentera dulu. Tapi, aku tak pernah tanya abah main di posisi mana. Dia pula tak pernah bercerita.
Bila pencen askar tahun 1975, abah buat keputusan masuk Felda Sungai Koyan, dalam Daerah Kuala Lipis, Pahang. Umur abah masa tu dalam 40 tahun, umur aku baru 8 bulan. Ikut kata mak, mulanya abah dah bersihkan satu lot tanah nak buat rumah di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Tanah haram. Tapi tawaran masuk felda lebih mengujakan abah. Entah apa yang indah, tak pernah aku tanya.
Hidup di Felda adalah rutin. Pagi pergi kebun kelapa sawit sampai tengahari. Petang lepak minum, dan ceritanya kenangan-kenangan waktu jadi askar dulu. Rata-rata peneroka Felda Sungai Koyan adalah bekas askar. Pernah beberapa kali aku ikut abah lepak minum di kedai petang-petang. Abah dan kawan-kawannya berbual cerita masa jadi askar. Cerita pengalaman jadi tentera pengaman di Congo, cerita bertempur dengan komunis, cerita kawan mati kena tembak, cerita jumpa binatang buas di hutan dan cerita Tragedi 13 Mei. Itulah cerita yang diulang-ulang saban petang.
Kadang-kadang, kalau ada perlawanan bola sepak antara belia kampung aku lawan belia kampung berhampiran, abah akan bawak aku ke padang. Waktu itu, kalau ada perlawanan bola sepak, padang kampung akan bertukar jadi tapak pesta. Ada jual air sirap bungkus dan buah potong. Penduduk Sungai Koyan akan memenuhi padang, sambil bersorak menyokong pasukan. Itu saja hiburan yang ada sebenarnya. Pekan terdekat, Kuala Lipis dan Raub terletak 50-60 km jaraknya. Jalan masih belum diturap. Antara memori terawal, walau cuma samar-samar, aku, emak dan abah naik motorsikal berkuasa rendah, Honda C70 ke pekan Raub. Perjalanan hampir 60km yang amat panjang dan menyeksakan. Jalan berdebu dan berlubang-lubang.
Biasanya, sebelum perlawanan bola sepak, akan datang wakil pemuda kampung ke rumah.
"Pak Ali, boleh tolong jadi pengadil?" ayat yang paling seronok aku dengar. Tak ramai yang boleh jadi pengadil. Abah dan Arwah Pakcik Sharif Berok yang selalu jadi pengadil. Arwah Pakcik Sharif, bela berok di rumahnya, sudahnya lekat nama Sharif Berok.
Usai Asar, abah akan mula bersiap. T-Shirt berkocek di dada kiri jadi pilihan. Tempat dia letak kad kuning dan merah. Sebelum ke luar rumah, abah takkan lupa wisel besi bertali hijau yang tergantung di belakang pintu. Wisel bertukar posisi gantung, dari belakang pintu ke leher abah. Akhir sekali, abah akan sarung kasut kain berstud 12 warna hitam jenama Gold Cup made in China sebagai pelengkap kostum pengadil bolasepak. Segak. Itulah juga kasut yang abah pakai ke ladang kelapa sawit.
Bolasepak adalah satu kegilaan sebenarnya. Selain agama, bolasepak boleh mewujudkan pelampau dan fanatik. Pernah beberapa kali abah hampir di pukul peminat bola sepak atas keputusan-keputusan yang dibuatnya. Memberi kad merah misalnya, atau membatalkan jaringan kerana off side. Aku di tepi padang sentiasa berdebar tiap kali insiden semacam itu berlaku. Itu saja abah yang aku ada.
Biasanya habis perlawanan abah dapat upah. Wakil pasukan akan datang jumpa abah bagi duit. Kadang-kadang 10 ringgit, kadang-kadang 15 ringgit, pernah juga 5 ringgit. Abah masukkan duit dalam kocek di dada kirinya sambil tersenyum.
"Jom balik, dah nak maghrib" kata abah.
Di atas motosikal berkuasa rendah, aku peluk abah. Dia johan satu dunia. Hero bola nombor 1.