Monday, October 21, 2013

Pesan abah dan hukuman sekolah.

Aku ingat lagi masa sekolah rendah, bila hari akademik abah datang ke sekolah.  Lepas dengar lebih kurang laporan cikgu pasal pencapaian akademik dan kelakuan, abah akan pesan dengan cikgu ;

" Cikgu, kalau anak saya ni nakal, cikgu hukum laa...jangan sampai cacat sudah..."

Disebabkan itu, aku rasa, sepanjang menjalani persekolahan, bermacam hukuman aku kena.  Darjah 1, Cikgu Omar dengan Cikgu Awang, dia jentik telinga guna getah gelang...tak pun dia tarik "sideburn".  Perghhh pedih dia bukan main woiii, menyeringai muka tahan sakit.

Darjah 2, Cikgu Mat dengan Cikgu Razali asyik nak mencubit.  Salah jawab kena cubit.  Cikgu Razali ajar matematik, kuku ibu jari tangan kiri, memang sengaja dia bela pasal nak buat mencubit.  Dia suka cubit perut, sampai menggelupas kulit perut.  Menitik air mata kalau kena.

Darjah 3 Cikgu Moktar guru kelas.  Asyik nak menyebat dengan pembaris je kerjanya.  Tapak tangan, punggung, belakang badan memang jadi bahan pembaris kayu panjang dia.

Darjah 4, pernah kena penampar dengan Cikgu Elanko.  4 kali.  Sampai terkencing.  Cikgu Fadil, guru kelas pernah hantuk kepala aku ke dinding.

Darjah 5 dan 6 pernah kena rotan dengan Cikgu Mokri.  Paling tak boleh blah, kena rotan masa darjah 6 pasal mengurat budak darjah 4. 

Hukuman yang aku terima tak berhenti setakat sekolah rendah, ia bersambung ke menengah.  Tingkatan 1 sampai 3 pernah kena penampar dan rotan dengan Cikgu Khairul Faizi.  Cikgu Kairi pun pernah tampar aku.

Tingkatan 4-5 Cikgu Ravindren ajar biologi suka sebat guna ranting bunga raya.

Ini semua hukuman fizikal.  Belum kira hukuman mental lagi.  Berdiri atas kerusi, berdiri sambil junjung buku depan kelas, jemur tengah panas, ketuk ketampi beratus kali, pusing helicopter, lari keliling padang, buku kena campak ke luar dari tingkat 3 dan paling cilaka, berdiri sambil pegang lidah...air liur akan berjejes menitik ikut siku.  Tak percaya korang cuba.

Itu hari masa hari akademik sekolah Lutfil, aku cuba ikut pesan abah.

"Lutfil ni kalau nakal, cikgu bantai je..." kata aku.

"Sekarang mana boleh bantai murid encik..." jawab cikgu kelas sambil senyum-senyum.


Ini apa benda ni??? Tak rock langsung!!!

Thursday, October 17, 2013

Allah.

Aku selalu out station.  Aku tinggalkan Alia seorang.  Kadang-kadang kawan Alia datang tidur di rumah.  Kadang-kadang Alia tidur rumah kawan.  Aku akan mintak tolong jiran atau rakan pejabat hantar dan ambik Alia pegi balik sekolah.

Kawan Alia ramai yang non-muslim.  Alia kamcing dengan Tracey dan Sharlene.  Tracey selalu juga tidur rumah aku time weekend.  Hari Ahad, aku hantar Tracey pegi church.

Alia pun pernah tidur rumah Tracey.  Alia cerita, mak Tracey siap beli pinggan dan sudu garfu baru untuk Alia guna.  Makanan, mak Tracey beli bungkus di kedai muslim.

Aku percaya, Allah jadikan kita berbeza-beza supaya kita kenal mengenal dan berkasih sayang.  Semoga kita semua dilindungiNya.