Tuesday, November 16, 2010

Aku sorang pakai nokia cokia...

Semalam aku kena pegi meeting kat Serdang. Bos aku call suruh pegi meeting dalam pukul 2.20 pm. Meeting start 2.30 pm.  Tahniah!! Aku speed dengan kelajuan cahaya.  Aku sampai 3.15 pm.  Sebenarnya, rasa macam cilaka bila lambat masuk meeting.  Tambah cilaka bila semua ahli mesyuarat letak henfon canggih masing-masing atas meja...

Err...aku ingat nak sambar nokia butterfly la dapat gaji nanti...ada lagi ke model tu...???

Lebih Sudu dari Kuah

Ke mana saja aku pergi pasti berjumpa dgn org yg suka berlebih-lebih menangani sesuatu perkara/isu. Perkara kecik, aksi dan tindak menangani perkara itu dibuat dgn cara yg berlebih-lebih…kadang muak, kadang cuak, kadang jelak dan kadang lucu melihat tindak si senduk ni…bkn ke lebih “in” kalau kita buat sesuatu benda itu dgn cool dan santai…

Golongan ini wujud dah lama barangkali, sebab itu ada pepatah lama Melayu yg berbunyi lebih sudu/senduk dari kuah…kewujudan mereka ini buat hidup kita lebih meriah, lebih menyampah!! Aku kadang terkesima melihat aksi gelabah setempat mereka …teruskan begitu, kamu beri warna dlm hidup aku!!!

Lebih senduk dari kuah
Samalah juga ertinya dgn…
Lebih mogok dari masalah, atau
Lebih duduk dari melangkah, atau
Lebih tunjuk dari arah, atau
Lebih berok dari buah, atau
Lebih nyamuk dari darah, atau
Lebih amuk dari marah, atau
Lebih lalok dari dadah, atau
Lebih sogok dari rasuah, atau
Lebih batuk dari lelah, atau
Lebih pelanduk dari gajah, atau
Lebih senduduk dari getah, atau
Lebih colok dari sembah, atau
Lebih songkok dari ke Mekah, atau
Lebih rokok dari barah, atau
Lebih sibuk dari meriah, atau
Lebih perok dari punggah, atau
Lebih jeruk dari jelatah, atau
Lebih busuk dari sampah, atau
Lebih tumbuk dari menyampah, atau
Lebih rujuk dari berpisah, atau
Lebih penduduk dari rumah, atau
Lebih jolok dari galah, atau
Lebih monyok dari susah, atau
Lebih sodok dari tanah, atau
Lebih merajuk dari mengalah, atau
Lebih gebok dari sawah, atau
Lebih tengok dari indah, atau
Lebih beduk dari jemaah, atau
Lebih peluk dari ramah, atau
Lebih tanduk dari pawah, atau
Lebih nyanyuk dari latah, atau
Lebih gemuk dari mentekedarah, atau
Lebih cebuk dari meruah, atau
Lebih seronok dari ghairah, atau
Lebih geluk dari kolah, atau
….aku malas nak pikir dah!!!
Lu pikir la sendiri!!!

Si Lucky Laki

Si Lucky Laki baru sampai dari tempat kerja. Belum sempat buka sepatu, Nur dan Haqiem sudah menerpa dan memeluk erat Si Lucky Laki. Mcm sayang dan rindu sangat lagaknya. Mereka duduk di kerusi panjang depan rumah bawah porch.
Si Lucky Laki  : Amacam sekolah hari ni?

Nur  : Ok pa, best...hari ni belajar microorganisma...ada virus, bakteria, protazoa...lagi...fungi. Tgk fungi dekat roti yg dah lama pakai microskop nampak mcm akar pokok pa...

Nur bercerita besungguh-sungguh. Si Lucky Laki kusyuk mendengar...paling ke Haqiem..

Si Lucky Laki: Ha kau apa cerita?

Haqiem : mcm biasa je pa...

Dia lebih santai.
Si Lucky Laki: Kau nakal tak hari ni?

Haqiem : Sikit je (muka maintain tak bersalah)

Nur : Kitorang ada surprise untuk papa ni!!

Si Lucky Laki: Surprise apa pulak??

Nur : ada la, cuba teka??

Haqiem : Ambik je la kak!!

Nur terus lari ke dalam rumah. Tak lama, keluar dgn sebuah kotak putih di tangan terus dihulur kepada Si Lucky Laki. Kotak set penjagaan kulit untuk lelaki jenama Lab Series.

Si Lucky Laki : Hensem la papa pakai ni nanti...

Nur : Cepat la kitorang dpt mama baru!!!
Si Lucky Laki hanya senyum, toleh ke Haqiem...dia turut tersenyum sampai sepet matanya yg bulat, ditolak otot-otot pipi ke atas.

Si Lucky Laki : Dah, jom pegi pasar malam!!!














*kalau selepas ini korang jumpa jejaka tampan persis Keanu Reeves, senyum semanis Jude Law sdg makan di mana2 kedai tom yam sekitar kl, itu adalah Si Lucky Laki...kesan penggunaan set penjagaan kulit lelaki jenama Lab Series...

Tuesday, November 9, 2010

Cikgu Awie dan 9 Orang Penipu

Cikgu Awie tersandar lesu di kerusinya dalam bilik guru.  Penat betul dia.  Penat dengan kerenah anak murid.  Penat mengajar.  Sudah hampir 10 tahun dia mengajar di situ.  Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai, Raub, Pahang.  Kawasan yang mendapat nama sempena ulu Sungai Semantan, tempat bermula Tok Bahaman menentang Inggeris.  Cikgu Awie pening.  Pening dengan gelagat murid.  Rata-rata muridnya anak orang asli.  Tugas sebagai warden menambah sakit kepalanya.  Nyata pendidikan belum jadi kemestian bagi masyarakat orang asli.  Peratus keputusan peperiksaan dan kehadiran ke sekolah amat rendah.  Dah macam-macam cara Cikgu Awie usaha.  Hasilnya tetap sama.  Pernah dia berura-ura ke Gunung Ledang bertapa dan mencari azimat untuk memulih murid-muridnya.  Tapi bila memikirkan Gunung Ledang jauh dan tak boleh buat tuntutan perjalanan, niat suci itu dia simpan dalam dalam.  Cikgu Awie menggaru-garu kepalanya.  Keping-keping kelemumur halus jatuh ke bahu.  Baru semalam dia bershampoo jenama Head & Shoulder anti kelemumur.  Tak berhasil juga.  Sama macam masalah keputusan peperiksaan dan kehadiran ke sekolah murid-muridnya. Dia buntu dengan kedua-dua masalah itu.  Dia hampir menyerah.  Masalah itu bak aliran ulu Sungai Semantan yang tak mampu dibendung.

Puas menggaru kepala, Cikgu Awie merenung ke atas.  Matanya tak berkelip.  Dia bukan merenung kipas.  Juga bukan syiling.  Pandangannya menerobos jauh melepasi atap bangunan sekolah.  Malah lebih tinggi dari awan.  Merentas troposfera, stratosfera, lapisan ozon dan entah apa lagi lapisan atmosfera. Bersama pandangan itu, fikirannya melayang.  Melayang jauh merentas Bima Sakti yang berdiameter 100,000 tahun cahaya, mengandungi hampir 300 juta bintang.  Berlegar-legar di cakrawala.  Penat merentas angkasa raya, fikirannya ingin kembali ke bumi.  Tapi bukan di waktu kini.  Fikirannya ingin kembali ke zaman silam.  Lebih tepat, ke tahun 1994...

++++

1994
Pagi itu sekolah SM Clifford ceria macam biasa.  SM Clifford, sekolah Inggeris kerajaan tertua di negeri Pahang. Ditubuhkan pada tahun 1913. Waktu tu, ia hanyalah sebuah rumah kayu beratap nipah di Jalan Besar Bandar Kuala Lipis. V.N. Bartlett yang berasal dari Sri Lanka merupakan pengasas dan pengetua pertama.  Tahun 1919, sebuah bangunan dibina di tengah padang sekolah, namun telah musnah dilanda banjir besar tahun 1926. Pada tahun 1928, sebuah bangunan batu dua tingkat dibina dan Sir Hugh Clifford yang merupakan Gabenor Negeri-Negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Bersekutu telah merasmikan bangunan itu dan seterusnya menamakannya Sekolah Clifford sempena nama dirinya.  Sejak itu, SM Clifford telah menempa banyak sejarah.

"Ad Sapientiam" moto di lencana sekolah dalam bahasa Greek bermaksud "Ke Arah Kearifan". 

Sessi persekolahan di awal tahun biasanya dipenuhi dengan aktiviti sukan. Pagi Rabu itu, suasana di SM Clifford agak meriah. Ada perlawanan hoki menentang SM Vokasional.  Adik, Man Iban dan Mamat turut sama memeriahkan suasana.  Mereka pelajar tingkatan 6 atas.  Acara sukan banyak untuk kategori di bawah 18 tahun.  Sebagai pelajar Tingkatan 6 atas dan sudah masuk ke angka 19 umur... mereka tidak layak untuk turut serta.  Atas dasar semangat kesukanan selain ponteng kelas, mereka turut berada di bangku penyokong.  Sambil menyokong mereka berbual dengan penyokong dari SM Vokasional.
"Hujung minggu ni ada rugby 7 sebelah kat Jerantut. Sekolah Clifford hantar team ragbi tak?" budak vokay bersuara.
"Clifford mana ada team ragbi..." Man Iban balas bernada hampa, ragbi memang sukan kegemarannya.
"Sekolah seluruh Malaysia datang main...Jumaat petang pendaftaran, lawan Sabtu Ahad." tambah budak Vokay lagi.
"Sekolah mana anjur?" Adik mencelah, nadanya penuh harapan...
"Sekolah Menengah Kebangsaan Jerantut" jawab Budak Vokay pasti.
"Ok terima kasih" ringkas ucapan Adik kepada Budak Vokay.
Adik berpaling kepada Man Iban dan Mamat. "Jom lepak kantin pekena sirap.."

Sirap, sejenis minuman yang diperbuat dari perisa daun pandan dan air gula. Biasanya pewarna merah digunakan bagi memberikan warna menarik kepada air sirap.  Sirap biasanya dihidangkan sejuk, dengan air batu. Rasanya yang sedap, dan mudah dibuat menjadikan ia sebagai pilihan utama dalam kebanyakan majlis kenduri kendara.  Ia juga menjadi minuman pilihan di kantin-kantin sekolah seluruh negara.  Ahh...sirap memang terbaik!!

Adik, Man Iban dan Mamat amat kamcing, walau perkenalan mereka belum sampai setahun, waktu sama-sama masuk tingkatan 6 rendah tahun 1993. Adik berasal dari Merapoh, anak tunggal seorang peniaga kedai runcit kecil di sana.  Gelaran Adik membayangkan betapa ibu bapanya sangat sayangkan anak tunggal mereka itu.  Berkulit cerah.  Matanya sedikit sepet.  Bibirnya merah walau kuat merokok. Dia pintar.  Tingkatan 1 hingga 5 dia bersekolah di Sekolah Menengah Sains Selangor.  Matapelajaran Matematik dan Matematik Tambahan di peringkat SPM tertera A1.  Dia lulus dengan kredit yang bagus juga untuk Kimia, Biologi, Fizik dan Pendidikan Islam.  Cuma Bahasa Malaysia sahaja tertera C6, tapi masih kredit.  Keseluruhan, dia mendapat pangkat 1 dengan 12 aggregat untuk SPM yang diambil pada tahun 1992.  Bagi seorang anak luar bandar, kelulusan semacam itu menjamin tempat di universiti tempatan.  Tapi satu perkataan di ruang "Kelakuan" pada sijil berhenti sekolahnya, menutup peluang itu.  SEDERHANA.  Perkataan itu tertera jelas.  Menutup sama sekali peluang Adik untuk terus ke menara gading.  Dia tiada pilihan.  Dia mendaftar sebagai pelajar tingkatan 6 di SM Clifford.  

Man Iban, anak kampung entah apa ke nama di sempadan Kuala Lipis dan Jerantut.  Tubuhnya tegap, dahinya sulah.  Sekali pandang macam garang.  Macam seladang. Tapi hati ada taman bunga.  Dengan perempuan bukan main.  Bekas pelajar SM Teknik Kuantan. Dari sana dia dapat nama...Man Iban.  Gelaran itu memang tidak sesuai dengan asal-usul dan perangainya.  Tapi zaman remaja zaman tiada fikir panjang.  Bertindak ikut suka.  Semuanya untuk suka-suka.  Memberi gelaran kepada rakan juga untuk bersuka.  Ogy Ahmad Daud pernah berdendang: 

        "Dalam kehidupan ini yang terindah, melalui usia remaja
         Senda gurau suka duka, silih berganti
         meninggalkan kesan abadi...."

Seterusnya Mamat.  Membesar di Sg Koyan, felda dalam Daerah Kuala Lipis . Melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 setelah tidak memohon ke mana-mana institusi pengajian tinggi selepas SPM.  Hajat nak masuk Akademi Laut Malaysia (ALAM) dihalang ibu.  Ibunya takut dia jadi bukan-bukan kalau sering belayar di lautan.  Tapi sebenarnya, di daratan pun dia bukan-bukan juga.  Si kurus tinggi ini gemar bersukan.

Sambil meneguk sirap, Adik memulakan bual. 
"Apa kata kita masuk rugby kat Jerantut tu?" nada Adik sungguh-sungguh.
"Menarik!! Aku setuju" tangkas Man Iban memberi respon.
"Tapi kita dah lebih umur...sape lagi yang bole main?" Mamat kurang yakin.
"Kau, Aku, Man Iban...Nik pun boleh...dah 4 orang...kita cari lagi 4-5 orang...umur boleh tipu!!" tambah Adik yakin.
"Aku ikut je la..." tambah Mamat.  Seronok juga buat benda-benda tak senonoh sekali sekala kata hatinya.
"Malam karang kat hostel kita bincang...Nik biar aku settle, dia gerenti nak join punya" Adik bernada yakin.

Nik...Nik Rizman, anak Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Lipis ni boleh tahan ligat.  Walaupun ayahnya PPD, itu tidak menghalang Nik menakal macam remaja-remaja lain.  Asas bermain rugbi memang ada dalam dirinya setelah bersekolah di Sains Raub masa tingkatan 4-5.  Sekolah Menengah Sains Raub (Semesra) antara yang handal dalam sukan ragbi peringkat negeri Pahang selain Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (Semsas).

Adik, Man Iban dan Mamat merancang untuk turut serta dalam kejohanan ragbi 7 sebelah di Jerantut.  Walaupun mereka sudah terlebih umur, mereka tetap ingin turut serta.  Mereka gemarkan ragbi.  Sukan yang tercipta secara tidak sengaja ketika perlawanan bola sepak peringkat sekolah di England tahun 1823. William Webb Ellis mengambil bola dengan tangannya dan membawanya lari. Sejak itu, bermulanya perlawanan ragbi.

Lepas tu, Universiti Cambrigde telah mengubahsuai permainan ini, mempopularkan dan buat peraturan rasmi ragbi. Ragbi mula popular tahun 1871 di sekolah-sekolah di England. Kemudian Kelab Ragbi mengumumkan peraturan rasmi permainan ragbi di London pada 1881.

Ragbi mula berkembang ke seluruh dunia dan perlawanan antara negara diadakan.  Pada tahun 1905 perlawanan antara Sarthmore dengan Pennsylvania di Amerika telah mencetuskan pergaduhan. Presiden Amerika Syarikat, Theodore Roosevelt telah mengubah peraturan bagi mengurangkan keganasan dalam permainan ragbi.  Pada 1906 akibat daripada perubahan pada permainan ragbi, muncullah American Foolball di Amerika Syarikat.

Ragbi salah satu sukan yang kasar dan lasak.  Itu kalau lihat dengan mata kasar. Sebaliknya, kalau diteliti, ragbi adalah salah satu sukan yang membentuk keperibadian. Ragbi juga dianggap sebagai sukan atau permainan lelaki sejati bagi sesetengah pihak. Rugby is a gentleman game...Adik, Man Iban, Mamat ingin menjadi gentleman. Hah!!
++++

Berbekal mulut manis, Adik, Man Iban dan Mamat berjaya memujuk beberapa orang member form 6 untuk turut serta dalam misi main ragbi.  Nik, Haizam, Mat Akob, Die Boyan, Epul setuju nak ikut.  Kini sudah ada 8 orang.  Perlu ada 9 paling kurang.  7 pemain dan 2 simpanan.  Perlu lagi sorang...!!

"Aku kalau ragbi 15 sebelah boleh la, 7 sebelah kena laju..." kata Mie Atan yg berat badannya 155 kilo.  Alasan beliau terpaksa diterima.  Dia punya lari paling laju, boleh kejar guna jalan kaki je...


"Keh seumur idup xpenah main ragbi...tak mboh keh" tambah Nasir Panjang.

"Keh mana la tau ragbi-ragbi nih...main bolo pun keh tak mboh" Kama Padang Tengku bersuara dengan loghat Pahang pekat tak ingat. Beliau memang kaki bangku...


"Ada kenduri kat kampung" Ithin, anak ketua Kampung Budu di Benta beri alasan.  Dia ingat tahkta ketua Kampung Budu boleh turun ke dia satu hari kelak...??
"Nak balik kampung tengok kebun sayur" kata Along.  Nasib baik adik beliau cantik.

"Keh ketua murid!!!" ringkas alasan Jasmirol.  Ye tak ye, takkan ketua murid nak bersekongkol dalam penipuan ni...

"Mana nak cari lagi sorang ni...??" Man Iban bernada putus harap.

"Apa kata kita ajak Syamrul" Mamat kasi satu idea.

Ya...Syamrul Nizam.  Junior 1 tahun sedang tunggu result SPM.  Kerja di Freeda. Freeda merupakan satu jenama fast food tempatan ala-ala KFC dan McD.  Di awal 1990an jenama ini sangat popular di pekan-pekan kecil di negeri-negeri Pantai Timur.  Waktu ini brand-brand establish macam KFC, McD, A&W belum menembusi pasaran daerah-daerah terpencil.  Penduduk di Kuala Lipis dan Jerantut menjadikan kedai Freeda yang ada aircond sebagai lokasi berdating selain menikmati juadah kentang goreng, burger, ayam goreng dan tidak ketinggalan root beer float ais krim perisa vanilla yang sangat sedap itu.  Bila KFC mula beroperasi di penghujung 1990an di Kuala Lipis, Freeda gulung tikar.  Hilang ghaib entah ke mana.

++++

"Lu orang datang ni nak order apa?" Syamrul bertanya acuh tak acuh.  Bukan main bergaya dengan uniform Freeda siap pakai topi dan name tag.

"Kitorang tak nak makan...tapi kalau ada yang free boleh juga" Adik menjawab dengan jawapan yang entah apa-apa sambil sengih-sengih.

"Kitorang nak ajak lu main rugby...kat Jerantut, esok dah nak pegi daftar, Sabtu dan Ahad dah main" tanpa basa basi Mamat straight to the point.

"Apahal ajak gua??  Gua keje...lagipun gua bukan sekolah...tengah tunggu SPM!!!" Syamrul bersuara macam tak boleh cuti.  Apa dia ingat nak kerje situ sampai pencen...

"Sebab tu la kitorang ajak.  Tournament tu under 18...kitorang pun dah lebih umur semua.  Kitorang nak player yang laju...memang harap dengan lu je ni..."

Syamrul memang atlit.  110meter lompat pagar under 18 dulu dia nombor 2 dalam Pahang.  Cukup sesuai main posisi wing.

"Bab lebih umur jangan risau.  Gua dah kaw tim sama budak-budak tingkatan 4 dan 5 nak photostat i.c dorang.  Kalau lu jadi join ngam kita punya team. Ada 9 orang...7 player 2 reserve...semua umur dah lebih..." Adik menerangkan modus operandi.

Dipendekkan cerita, Syamrul setuju nak turut serta. Kini telah cukup 9 orang pemain.  Adik, Man Iban dan Mamat rasa gembira.  Hajat nak masuk tournament ragbi 7 sebelah di Jerantut bakal terlaksana. 

++++

Mereka menyamar la sebagai budak-budak sekolah bawah 18 tahun.  Guna photostat ic budak tingkatan 5 dan 4.  Awie yang juga pelajar tingkatan 6 atas ditugaskan menyamar sebagai guru pengiring!!

++++

Sewaktu pendaftaran

Urusetia : Sekolah mana ni...?
Awie     : Sekolah Clifford, Kuala Lipis
Urusetia : Ish...dah lama Clifford takde team ragbi.
Awie     : Team baru ni...baru start tahun ni...
Urusetia : Naik apa datang?
Awie     : Naik keretapi...dari stesen Jerantut jalan kaki sampai sini...(9 orang penipu tunduk malu...sekolah lain semua datang guna bas sekolah sendiri...)
Urusetia : Mana cikgu pengiring...?
Awie     :  Saya la...saya cikgu sementara je...cikgu sukan pergi kursus!!!(9 orang penipu tahan gelak, sambil beratur nak daftar masing-masing pegang photostat ic tipu, Awie muka kontrol cakap bukan main lancar tak nak kantoi)

++++

Waktu mandi ramai-ramai di asrama SMK Jerantut.
Entah budak sekolah mana borak-borak sesama sendiri...
Budak A: Lu nampak tak budak-budak Sekolah Clifford?? Macam dah tua tua je...yang sorang tu siap ada bulu dada...(merujuk kepada Die Boyan)
Budak B: Gua rasa dorang anak orang asli la...jenis lambat daftar masuk sekolah...

































Cikgu Awie, Mat Akob, Nik Rizman, Mamat, Arwah Adik, Haizam, Die Boyan, Man Iban & Shamrul